Share This!

Share this to your friends!

Sunday, 28 June 2015

Penambahbaikan GST

1. Sambungan daripada artikel saya sebelum ini, ramai sahabat memberi pandangan yang positif dan juga negatif terhadap penulisan saya. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, saya merupakan seorang yang mengambil kursus kejuruteraan mekanikal sahaja tetapi saya mempunyai minat dalam menyuarakan pendapat saya terhadap kebajikan rakyat dan situasi negara. Saya bersedia menerima kritikan daripada pakar-pakar ekonomi, kewangan, dan profesional.

2. Dalam artikel ini saya ingin menyatakan beberapa pendapat saya dalam menangani kemelut GST.

3. Pada pendapat saya, malaysia terbahagi kepada 4 jurang pendapatan yang berbeza dan sangat ketara. Ia terbahagi kepada golongan maha kaya, kaya, sederhana ataupun yang biasa, dan akhir sekali yang miskin. Jelas sekali golongan maha kaya dan kaya ini tidak terkesan pada implementasi cukai GST ini.

4. Kadar inflasi yang kian meningkat menyebabkan harga barang terus naik dan menyebabkan kos sara hidup meningkat. Kadar inflasi negara kita merupakan antara yang terendah di dunia, tetapi hakikatnya kos perbelanjaan bulanan sememangnya tidak sepadan dengan kadar inflasi negara kita. Seisi keluarga yang berpendapatan rendah sudah pasti mengalami tekanan dari segi kewangan.

5. Antara inisiatif kerajaan untuk membedung masalah ini adalah dengan memberi BR1M. Memang benar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ini dapat menolong kumpulan-kumpulan sasaran yang memerlukannya. Tetapi adakah ia cukup atau dalam kata lain 'sustainable' untuk janga masa panjang?

6. Selain daripada BR1M, antara servis yang kerajaan boleh mengaplikasikan adalah dengan menggunakan sistem rebat dan pengecualian cukai berlandaskan MyKad. Kita mampu menggunakan mykad dengan sebaik mungkin kerana MyKad kita merupakan antara kad identiti pintar yang tercanggih di dunia. Ia berkebolehan untuk mengaplikasikan pelbagai perkhidmatan bagi seluruh rakyat malaysia. Rebat dan pengecualian cukai ini akan bergantung kepada pendapatan per kapita keluarga itu. Pendapatan seisi rumah yang sederhana dan kebawah layak menggunakan sistem ini.

7. Memang benar tidak semua kedai akan dapat mengaplikasikan system mykad ini, tetapi ini merupakan antara langkah-langkah pertama dalam memberikan servis yang lebih baik pada rakyat. Sebahagian besar daripada kedai runcit dan kedai makan perlu menyediakan servis ini bagi membolehkan rakyat mengurangkan beban dan perbelanjaan harian. 

8. Selain daripada itu, kerajaan juga boleh meningkatkan lagi servis penggunaan kad siswa 1Malaysia yang banyak digunakan oleh pelajar dan mahasiswa dari pelbagai bidang. Ia membolehkan mereka mengurangkan perbelanjaan dan kos sara hidup dari penggunaan minyak untuk kenderaan ke perbelanjaan harian dan lain-lain lagi.

9. Tujuan saya mengutarakan beberapa perkara utama seperti diatas adalah kerana kejayaan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kehebatan ekonomi negara tersebut di persada dunia, tetapi ia juga bergantung kepada kesejahteraan rakyat di negara tersebut. Kerajaan perlu memastikan kebajikan rakyat dipelihara. Rakyat yang sejahtera akan menghasilkan negara yang aman dan produktif.


10. Nantikan artikel saya yang seterusnya.


Yang baik datang dari Allah dan yang buruk datang dari diri saya sendiri.


*Ini ialah pendapat peribadi saya.



Sekian, Assalamualaikum

Yang Benar,
Syed Mohamed Arif Bin Syed Abdul Rahim



No comments:

Post a Comment